Assalamualaikum.
Aku baru sahaja selesai membaca kisah orang tua yang cacat
sebelah kakinya menjual lidi penyapu menggunakan kerusi rodanya yang usang. Lidi penyapu diikat kemas pada kerusi roda supaya tidak jatuh dan perlahan-lahan menjaja barang niaganya. Apabila
melintasi perempuan tua peminta sedekah
yang terbiar dijalanan, dia dengan ringan hatinya memberi sedekah kepada
perempuan tersebut walhal keadaan dirinya lebih memerlukan wang tersebut. Hasil
jualan lidi penyapu yang tak seberapa itu mungkin hanya cukup-cukup untuk dia
menyara keluarganya. Malahan mungkin hanya cukup untuk beli makanan malam
sahaja. Subhanallah! Sungguh besar hatinya dalam berbagi. Tanpa memikirkan
kepentingan diri sendiri dia lebih memandang kepada orang yang lebih memerlukan
wang tersebut untuk kehidupan hari esok.
Sedangkan aku?Masih berkira-kira untuk berkongsi rezeki yang
Allah berikan kepadaku kepada orang lain. Masih menghitung-hitung untuk
kegunaan diri sendiri. Malahan masih berasa berat untuk memberi sedekah kepada
orang yang lebih memerlukan. Masih berasa belum cukup gaji yang diberi
bulan-bulan. Sedangkan di luar sana masih ramai yang meminta-minta untuk sesuap
nasi.
Sumber: Google
Teringat kisah yang ku alami sendiri beberapa bulan lepas
semasa aku ke bandar ingin mengeluarkan sedikit wang untuk perbelanjaan harian.
Kelihatan seorang perempuan tua yang aku rasa umurnya sudah mencecah 70 tahun duduk di
tepi pintu kaca mesin atm. Diribanya keropok berbagai jenis sambil mulutnya
memanggil-manggil pelanggan membeli keropoknya. Dia sudah tua. Sangat tua pada
pandangan aku. Dimana keluarganya, anaknya fikir aku. Sanggup mereka membiarkan
ibu mereka berpanas disini untuk menjual keropok?Terdetiklah dalam hatiku untuk memberi
sedekah kepadanya, memang bukan niat untuk membeli.
Selepas keluarkan wang di mesin atm, aku jadi lupa kepada
niat asal aku tadi. Ada rasa sombong dalam hati aku apabila duit sudah ada
ditangan. Lalu aku melintasi perempuan tua tadi tanpa memandang ke arahnya
sedikit pun. Risau kalau-kalau diminta membeli keropoknya. Argh!Sungguh licik
syaitan bermain dalam hatiku. Dipalingkan hatiku dalam sekelip mata. Beberapa
langkah aku berjalan meninggalkan dia, kedengaran suara memanggilku.
“Nak, keropok nak”.
Aku seperti baru tersedar. Aku jadi teringat kepada ibuku
dirumah. Bagaimana kalau yang memanggil ini adalah ibuku. Bagaimana kalau ibuku
ditempat perempuan tua ini. Timbul rasa kasihan dan aku kembali ke tempatnya
melaksanakan niat asalku tadi. Subhanallah!Kalau perempuan tua tadi tidak memanggil
aku adakah aku akan kembali kepadanya?Ya Allah,ampunkan aku. Jadikan aku
seorang yang bersyukur dengan rezekiMu. Air mataku menitis, malu dengan sikapku
sendiri. Malu pada diri sendiri, malu pada Allah.
Hari tu, Allah menamparku dengan cara yang paling halus.
Bagaimana kisah orang tua yang cacat sebelah kaki tadi, tulus memberikan wang kepada peminta
sedekah dibandingkan dengan aku yang punyai gaji setiap bulan masih merasa berat
untuk bersedekah. Aku mendapat pengajaran yang paling bermakna dalam hidupku.
Tidak ada orang jatuh miskin kerana memberi. Tidak akan ada
orang yang hidupnya susah kerana bersedekah. Untuk hal ini, memang balasan
Allah tak akan pernah tercapai oleh logik akal kita. Perumpamaan orang yang
menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang bercambah tujuh
tangkai darinya, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan
bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui. (QS
Al-Baqarah (2) : 261 )
No comments:
Post a Comment